Blog Ini Masih Diselenggara oleh Rozaliah Mokhtar

Monday, August 8, 2011

Indahnya cinta selepas pernikahan

alt


Setelah sekian lama hidup dibelenggu rasa cinta nafsu, hidup sebagai remaja yang tidak ada hala tuju matlamat kehidupan. Saya disedarkan oleh Allah S.W.T dengan hidayah dan limpahan kasih-Nya.
Syukur kehadrat Allah Taala yang selalu mencintai kita dan mengasihi kita. Indahnya juga hidup yang penuh dengan syariat dan landasan hukum dan garisan keimanan. Entah bagaimana lagaknya hidup ini jika terus dilimpahi nafsu yang tidak berkesudahan.
Lumrah kehidupan ingin berkasih sayang. Lumrah sebagai remaja ingin ada pendamping. Tanyalah kepada siapapun, remaja utamanya, apa erti cinta?
Bagi mereka, cinta itu indah. Cinta itu lazat. Pelbagai tafsiran tentang cinta jika ditanya kepada para remaja di luar sana. Begitu da'if pendapat mereka tentang cinta. Saya, salah seorang daripada pencinta yang suatu ketika dahulu hanya memikirkan tentang keseronokan, kesunyian, hiburan dan teman-teman. Tidak ada cinta bersandarkan agama dalam jiwa. Jauh sekali mengingati dengan Dia yang memberikan rasa cinta itu.
Bukan mudah menerima tamparan dalam hidup bagi remaja yang putus cinta. Rasa mahu bunuh diri, menjauhkan diri dari kelompok manusia lain, sehingga terfikir mahu membunuh seseorang!
Inilah penyakit nafsu dan derita hati. Hati dan nafsu tidak bersandarkan akal. Allah S.W.T telah memberikan kita akal, iaitu salah satu kelebihan yang tidak ada pada hidupan lain. Sebagai manusia, kita sepatutnya menggunakan akal 100% dalam kehidupan. Allah S.W.T berfirman :
"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan (pada) pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang yang berakal." [Surah Ali 'Imran 3 : 190]
Saya sudah bernikah dengan seorang lelaki yang tidak saya kenali. Setelah putus cinta dengan lelaki yang dahulunya amat saya cintai (cinta yang tidak berlandaskan agama Allah). Saya membuat keputusan untuk bernikah kerana akal. Setelah berfikir dan menganalisis segala dosa dan kesalahan yang pernah saya lakukan, saya menunaikan umrah pada usia yang muda (25 tahun) dan pada waktu itu, tidak ada lain melainkan saya mencari reda Allah S.W.T dalam cinta yang terlalu saya inginkan. Setelah menunaikan solat hajat beberapa malam berturut-turut dan saya membaca Surah Yaasin beberapa malam berturut-turut (atas nasihat seorang ustaz di kampung halaman, imam masjid yang juga sahabat baik ayahanda tercinta).
Hakikatnya, segala yang kita inginkan dalam dunia ciptaan-Nya ini perlu kita mohon daripada-Nya. Tidak ada kuasa lain yang Maha Memberi kecuali Dia. Saya berdoa bersungguh-sungguh, memohon sebuah cinta yang suci dan tidak berlandaskan nafsu. Kuasa Allah Taala tidak siapa yang tahu.
Saya berkenalan dengan seorang lelaki yang sedang menyambung pelajaran di Australia. Setelah tiga hari berbalas mesej, mesej yang hanya bertanya khabar dan bertanya tentang kerja-kerja dan pelajaran, timbul persoalan tentang perkahwinan. Jawab saya, hanya bonda dan ayahanda bisa menjawab tentang pernikahan. Lalu, dihantar kedua ibu dan bapanya merisik pada Jun 2010. Maka termetrailah ikatan janji pernikahan Disember 2010.
Sekelip mata, zat Yang Esa sangat saya kagumi. Tidak pernah terlintas dalam hati ingin bernikah dengan seorang lelaki yang tidak dikenali. Dalam hati berniat, biarlah jalinan cinta terukir setelah ijab dan qabul diucap dan dibalas.
Tidak terkata betapa cerianya saya ketika hari berlangsungnya pernikahan. Tidak sedikitpun hati berdetak ragu dengan cinta dan kasih pemberian Allah Taala ini. Hakikatnya, cinta suci dan halal ini lebih indah untuk kita kecapi.
Saya sebagai insan yang lemah, pernah melakukan dosa dan diri masih dihinggapi noda silam. Saya ingin menyeru kepada semua remaja yang masih belum ada pasangan halal, ketahuilah, cinta sebelum bernikah, yang melanggar prinsip Allah S.W.T, merupakan jalan hidup yang sia-sia.
Tidak ada konsep cinta kekasih dalam Islam. Jika sahabat-sahabat sekalian seorang yang sangat beriman, dan dapat menjaga batas dalam pergaulan cinta lelaki dan perempuan, tahniah saya ucapkan! Jangan sekali-kali mendekati zina! Biarpun zina hati!
Jika tidak mampu mengikut sunnah dan ajaran Islam dalam memupuk cinta, berhentilahdaripada menjalin cinta yang membawa dosa dan noda. Katahuilah, jodoh itu ada dalam tangan Allah S.W.T. Berdoalah, kerana doa itu senjata terakhir untuk mengubah takdir dan haluan hidup kecuali satu, iaitu mati.
Percayalah, cinta suci yang sepatutnya kita agungkan selain cinta Allah dan Rasul adalah cinta suami. Ia merupakan cinta agung buat semua wanita dan gadis. Tidak ada dosa, tidak ada haram dalam cinta itu selagi menjadi isteri yang solehah.
Sentuhlah tangannya, Pahala. Ciumlah pipinya, Pahala. Layani kehendaknya, Pahala. Ucapkan kata rindu dan kasih diiringi senyuman mesra, Pahala. Berlembut suara bermanja, Pahala!  Apa lagi yang ingin kita cari dalam dunia yang semakin uzur ini, wahai sahabatku, para solehah di luar sana? Bukankah pahala yang kita kejar? Bukankah Syurga matlamat kita?
Tidak ada lain melainkan menjadi isteri yang sangat bahagia, itu idaman setiap insan. Bagi teruna soleh, gadis impian yang bakal menjadi suri hidup mereka, menjadi bidadari dalam setiap hembusan nafas zikrullah, subhanallah!
Carilah cinta suci dan cinta agung. Jauhilah cinta nafsu, sesungguhnya cinta nafsu itu melahirkan penzina. Ketahuilah, balasan Allah sangat dahsyat bagi dosa penzina.
"Sesungguhnya Jahannam itu seburuk-buruk tempat menetap dan tempat kediaman. Dan orang-orang yang apabila membelanjakan(harta), mereka tidak berlebihan, dan tidak (pula) kikir, dan adalah(pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian. Dan orang-orang yang tidak menyembah Tuhan yang lain beserta Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) kecuali dengan(alasan) yang benar, dan tidak berzina, barang siapa yang melakukan yang demikian itu, nescaya dia mendapat (pembalasan) dosa(nya), (yakni)akan dilipat gandakan azab untuknya pada hari kiamat dan dia akan kekal dalam azab itu, dalam keadaan terhina." (Surah al-Furqaan : 66-69).
Dan kini, saya bahagia bercinta kali pertama setelah menjadi isteri kepada suami yang sangat memahami. Cinta suci yang kami bina bermatlamatkan Syurga. Indahnya bercinta selepas pernikahan. Segala yang dilakukan menjadi halal bagi kami dan pahala buat bekalan di'sana' nanti. Syukur, sujud dan doa telah Allah kabulkan. Kuasa Allah S.W.T tidak dapat dilawan. Bercintalah, bercintalah, bercintalah! Bercintalah kerana Allah!

Tiada Bil Dari Allah, Maka Bersyukurlah

alt
Setiap bulan pelbagai jenis bil akan menghiasi ruang hidup kita. Bil air, elektrik, insurans, kereta, cukai dan sebagainya. Kenapa perlu membayar bil?. Kerana kita telah mengunakan sumber atau perkhidmatan daripada pihak tertentu. Setiap perkhidmatan yang kita gunakan sudah tentu perlu dibayar. Pembekal dan pengguna. Kitarannya adalah sama setiap masa.
Segala syukur dan puji-pujian kepada Allah, Tuhan semesta alam. Tuhan yang berhak disembah, dipuji dan dicintai. Kami berlindung kepada Allah dari segala macam kejahatan dan tipu daya syaitan. Dari segala dosa dan noda yang telah kami lakukan. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah semata-mata dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah. Selawat dan salam ke atas Rasulullah s.a.w. Sesungguhnya barang siapa yang diberikan oleh Allah petunjuk, maka tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barang siapa yang disesatkan oleh Allah, maka tiada siapa yang dapat memberikannya petunjuk.
Namun, sedarkah kita bahawa ada suatu perkhidmatan yang kita guna tanpa sebarang bayaran dari pembekalnya?. Perkhidmatan itu ialah nikmat daripada Allah s.w.t. Segala macam nikmat yang diberikan Allah kepada kita, tanpa kita mengeluarkan satu sen pun.Semuanya percuma. Ya, segala nikmat itu percuma maka sebab itulah kita semua jarang sekali bersyukur. Cuba kita mengambil jalan untuk menghitung nikmat Allah. Pasti suatu yang mustahil kerana nikmat Allah itu sungguh luas dan tidak terkira banyaknya. Firman Allah s.w.t :
"Dan sekiranya engkau menghitung nikmat-nikmat Allah, (pasti) ia tidak akan terhitung" (Ibrahim:34)
Ini adalah antara nikmat Allah s.w.t kepada kita tanpa bayaran. Mari berfikir bersama-sama.
Nikmat Tubuh Badan
1. Mata
2. Telinga
3. Hidung
4. Tangan
5. Otak
6. Perut
7. Kaki dan anggota lain.
8. Bernafas
9. Melihat
10. Mendengar
11. Merasa
12. Bau
Nikmat Pada Alam Untuk Manusia
1. Haiwan dan tumbuhan untuk makanan
2. Oksigen untuk pernafasan
3. Matahari untuk sumber cahaya
4. Air sebagai minuman
5. Tanah sebagai kediaman dan nikmat yang lainnya.
Jadi cuba kita renungkan sebentar, antara nikmat yang disenaraikan di atas, yang mana satu kita keluarkan bayaran kepada Allah s.w.t.? Tiada suatu pun yang kita bayar. Semuanya diberikan Allah untuk kita secara percuma namun mengapa sedikit sekali kita bersyukur. Firman Allah s.w.t :
"Kemudian Dia menyempurnakan dan meniupkan ke dalamnya roh (ciptaan)-Nya dan Dia menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati; (tetapi) kamu sedikit sekali bersyukur" (As-Sajdah:9)
Andai Allah s.w.t mengenakan bayaran di atas setiap nikmat yang diberikan pasti tiada siapa mampu membayarnya, hatta jutawan terkaya didunia sekalipun. Sifirnya mudah sahaja, andaikan setiap nafas yang disedut dikenakan bayaran RM1.00 atau mungkin lebih rendah, RM0.10. Dalam satu jam berapa kali anda bernafas? Satu bulan? Satu tahun? Selama hayat? Kajian menunjukkan manusia bernafas 18-30 ribu kali sehari. Itu hanyalah pernafasan. Andaikan nikmat yang lain juga dibayar dengan kadar yang sama sahaja, kita tidak akan mampu membayarnya. Allah berfirman dalam surah Yassin :
"Dan mereka memperoleh berbagai manfaat dan minuman darinya. Maka mengapa mereka tidak bersyukur?." (Yassin:73)
Bayangkan pula jika bil yang Allah keluarkan tidak mampu kita bayar, dan tertunggak seperti bil air atau elektrik. Suatu masa bil amaran akan dikeluarkan untuk pemotongan. Jika Allah melakukan sedemikian rupa, iaitu dengan memotong atau memberhentikan pemberian nikmat yang kita tidak bayar, bukankah kita pasti dalam ketakutan yang tidak dapat digambarkan?. Allah menggambarkan mereka yang tidak bersyukur adalah orang yang ingkar dan zalim dalam firmanNya:
"Sungguh, manusia itu sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah)"(Ibrahim:34)
Nikmat yang tidak dibayar ini menjadikan kita lupa dan lalai. Bersyukurlah wahai diriku dan sekalian saudaraku. Sekurang-kurangnya lafazkan ucapan Alhamdulillah (Segala puji bagi Allah) yang dinyatakan dalam Al-Quran hampir 21 kali. Taatlah pada perintahNya dan tinggalkanlah apa yang dilarang. Itu adalah tanda syukur kita selain daripada ungkapan Alhamdulillah. Moga redha Allah sentiasa bersama kita semua, hamba yang alpa lagi penuh noda.

sejauh mana usaha kita melindungi aurat

alt


Apabila berbicara tentang aurat, selalunya kita memfokuskannya kepada kaum wanita. Adakah mereka sahaja yang wajib menjaga dan menutup aurat? Bagaimana pula dengan kaum lelaki? Sebenarnya, dalam hal-hal berkaitan aurat, kedua-duanya tidak terkecuali daripada kewajipan menjaga dan menutup aurat. Bagaimanapun, kaum wanita sering dipandang berat akan hal inikerana pada wanita ada tarikan sehingga ia boleh menimbulkan fitnah.
Walaupun isu aurat sering dibahaskan dan menjadi topik perbualan dalam kehidupan seharian, namun ia dipandang sepi oleh umat Islam sendiri.
Jika cetek ilmu sekalipun, tidakkah mereka memerhatikan mengapa ada Muslim dan Muslimah yang begitu menjaga dari aspek pemakaian mereka tanpa mendedahkan aurat dan mengapa pula kita dengan ringkasnya memakai kemeja-T tanpa lengan bagi wanita, berseluar pendek dan tidak mengenakan tudung?
Walaupun ramai yang sudah tahu tentang hukum larangan membuka aurat akan tetapi mungkin ada yang terkeliru dan salah faham akan konsep menutup aurat dalam Islam atau pun sengaja buat-buat tidak faham (membuka aurat dengan sengaja). Masing-masing mempunyai hak sendiri dalam menentukan cara hidup, namun itulah silapnya.
Solat Dengan Pakaian Harian
Menurut Pensyarah Bahasa Arab di Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia , Dr. Marsufah Jalil, aurat adalah sesuatu yang mengaibkan. Sekiranya kita membuka aurat tersebut, maka ia akan menyebabkan keaiban dalam masyarakat. Dalam Islam, aurat mempunyai had-hadnya iaitu aurat wanita sesama wanita Muslim, aurat wanita Muslim dengan wanita non-Muslim dan aurat wanita dengan lelaki mahram dan bukan mahram.
"Sesetengah wanita beranggapan menutup aurat itu cukup sekadar memakai tudung serta memakai pakaian yang menutup tubuh sahaja. Sedangkan ia masih tidak memenuhi ciri-ciri yang digariskan dalam Islam iaitu memakai pakaian yang ketat, jarang dan menampakkan bentuk tubuh badan."

sujud sebelum musnah

alt

Di atas hamparan sejadah seusai solat Subuh. Aku duduk diam. Memikirkan sesuatu. Lantas, Allah halakan aku pada satu perkara.
"Jika alam dunia ibarat kandungan seorang wanita maka alam akhirat seperti alam dunia ini. Dunia ini adalah ibarat sebuah lubang kecil yang menghubungkan antara alam roh dengan alam akhirat. Alam dunia diapit oleh dua alam yang memiliki dimensi yang besar sekali yaitu alam roh dan alam akhirat. Alam roh adalah alam dimana kita pernah tinggal dan berjanji dan mengakui bahwa Allah S.W.T adalah tuhan semesta alam. Setelah kita dihadirkan oleh Allah S.W.T ke alam dunia, maka kebanyakan manusia lupa akan janjinya. Dunia adalah tempat persinggahan sementara yang sangat singkat waktunya. Dahulu Rasulullah S.A.W sering menasihatkan kepada para sahabatnya agar para sahabat senantiasa takut dan menangis akan kedahsyatan alam akhirat."
Memikirkan ayat 'Dunia ini adalah ibarat sebuah lubang kecil', Allah membuatkan aku berfikir daripada sekecil-kecil zarah molekul-molekul hinggalah sebesar alam ini sehingga galaksi, Bimasakti. Sesungguhnya Allah Maha Meliputi, Maha Besar. Jika kita lihat tempat kita berada sekarang sudah cukup besar. SANGAT BESAR. Bayangkanlah melihat pemandangan di bumi sahaja, kita melihat dimensi yang sangat besar tetapi hakikatnya:-
"Dunia ini adalah ibarat sebuah lubang kecil. Walau sebesar mana pun dunia ini, sebenarnya ia hanyalah lubang kecil di Akhirat."
Peringatan ini jelas dan nyata bahawa adanya hari kiamat. Namun, Iman dan taqwalah yang akan membukakan hati untuk menerima, hadam dan laksanakan apa yang patut. Terlalu banyak dalam diceritakan dalam al-Quran bagaimana orang kafir itu menafikan peringatan Rasulullah S.A.W yang membawa ajaran agama Islam, agama yang lurus dan benar. Satu-satunya agama yang lurus dan benar.
Namun orang kafir masih degil dan sombong untuk menyembah Allah yang hanya satu-satunya Tuhan di dunia. Sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Allah, dan hanya Allah lah yang layak disembah.
Sampai bila kau mahu leka dengan dunia? Sampai bila kau mahu menafikan perintah Allah dan mengabaikannya? Sampai bila kau mahu bergelumang dengan dosa? Sampai bila? Tidakkah kau terfikir yang kau akan mati suatu hari nanti? Bukankah telah jelas dan nyata Allah perintahkan kita taat pada-Nya dan meninggalkan larangan-Nya? Namun mengapa kau masih menafikan?
Islam itu mudah namun jangan pernah kau ambil mudah. Renunglah dan ingatlah bahawa dunia ini akan hancur suatu hari nanti, tatkala itu, pintu taubat sudah pun tertutup dan ketika itulah baru kau menyesali,
"Kalaulah aku ikut perintah-Nya di dunia dahulu, pasti aku tak menyesal pada ketika ini."
Sedangkan, ketika itu, semuanya sudah terlambat. Apa lagi yang boleh kau lakukan? Tiada. Tiada apa-apa melainkan menunggu azab dari-Nya. Sudah terlalu banyak nikmat yang Allah berikan padamu walaupun kau Islam yang kafir. Hanya Islam pada nama. Dia telahpun menunaikan hak kau, namun sudahkah kau menunaikan hak-Nya dengan taat pada-Nya? Jika belum, hari ini masih belum terlambat untuk kau kembali ke pangkal jalan.
Hari ini masih belum terlambat untuk kau bertaubat. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun. Takkan pernah ada istilah 'terlambat' melainkan berlaku hari Kiamat. Tatkala itu, pintu taubat sudah pun tertutup rapat untuk kau menjelajahinya kerana masa sudah diberikan semaksimanya namun kau yang tidak gunakan sebaiknya. Kita patut bersiap untuk Akhirat kelak."
Jangan kau manjakan dirimu dengan nafsu. Beruntunglah bagi orang yang menjadi tuan pada jasadnya. Jangan kau lupa, Kau itu ruh bukannya jasad. Nama dan jasad itu hanyalah sebagai perantara untuk Kau melaksanakan apa yang diperintahkan oleh-Nya kerana kau yang ada dalam jasadmu itulah (roh) yang akan menjawab soalan dalam kubur, kau itulah yang akan merasakan azab seksaan.
Seperti mana, kau yang akan rasa sakit saat jasad dilukakan. Jika tanganmu dicubit, bukan jasad yang merasakan, tetapi ruh yang merasakan kesakitan dan jasadlah yang menjadi perantara untuk kau merasa sakit ibarat ketika kau tidur, matamu terbuka, namun oleh sebab ruhmu tiada ketika itu, kau tidak akan dapat memandang. Bukan mata yang memandang tetapi jasad dan mata hanyalah perantara untuk kau dapat memandang.
Kembalilah. Kembalilah ke pangkal jalan. Jangan kau ikutkan perasaan, jangan kau terlalu ikutkan nafsu. Jadilah tuan pada nafsumu bukan sebaliknya.
"Jangan direnung perjuangan yang perit, pahit dan sukar tetapi renungilah kenikmatan kedamaian yang kau akan capai di Akhirat setelah kau bersusah payah untuknya. Janji Allah itu pasti, sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji."
Seperti kau bersiap untuk berbuka puasa, pastinya ada segala makanan dan minuman yang terhidang di depan mata. Tatkala azan berkumandang, kau akan rasa senang dan gembira kerana dapat berbuka dengan hidangan yang enak dan sedap-sedap. Seperti itu jugalah kau harus persiapkan diri untuk Akhirat kelak. Jika sekarang kau berjuang, pasti kau akan rasa senang dan gembira di Akhirat kelak. Jadikanlah Ramadhan kali ini ibarat Ramadhan yang terakhir bagimu dan berjuanglah untuk dunia berehat, Akhirat.

kita bercinta di syurga ya!

alt


Berkali-kali dia menekan butang 'play' di radio hadapan. Mahu mendengar lagu daripada kumpulan kegemarannya, FarEast. Suasana di luar amat gelap. Sesekali kelihatan pancaran kilat beserta guruh. Sama-sama memeriahkan suasana malam di lebuhraya. Hujan sejak awal perjalanan tadi masih lagi tidak menunjukkan tanda-tanda untuk berhenti mengalah. Hanya beberapa minit sebentar tadi hujan turun renyai-renyai.
Pemanduannya ditumpukan sepenuhnya di jalan yang sedang dilalui. Tahap keselamatan diletakkan pada tahap tertinggi di saat-saat begitu. Manakan tidak. Kiri kanan jalan, dipenuhi dengan kenderaan berat. Masing-masing memecut laju untuk ke destinasi yang dituju. Khuatir jika matanya berasa letih, sejak awal lagi dia sudah minum secawan kopi panas di hentian rehat setengah jam yang lalu. CD yang dimasukkan tadi, mungkin dapat membantu pemfokusannya berada pada tahap yang meyakinkan.
"Abang nak dengar lagu ape?"
Satu suara tiba-tiba memecah kesunyian perut kereta yang sedang meluncur laju.
"Sayang cuba tekan nombor 3.. dah lama abang tak dengar.. sedap lagu tu.."Balas Amin kepada isteri tercinta, Izyani. Dengan nada yang lembut, tetapi masih jelas didengari.
"Tajuk pe lagu tu?"
"Err.. Ade la.. Hehe.."
"Hek eh.. Nak rahsia-rahsia plak.."
"Suprise-surprise.. Lagu ni abang tujukan khas buat bidadari tercinta abang ni.." Ujar Amin bersahaja. Tangannya membelai manja pipi Izyani. Terasa kebahagiaan di situ.
"Romantiknye abang ni.."
"Mesti la.. untuk bidadari abang sorang ni je.."
Seketika kemudian, kedengaran lagu dimainkan. Izyani senyum, seraya memandang wajah suami di kerusi pemandu. Mendalam sekali setiap bait-bait lirik yang dilagukan.
Mekar di taman hati..
Cinta pertama..
Engkau ciptaan seni idaman kasih..
Antara bibir tersiratnya pekerti..
Kelembutan yang mendamaikan jiwa..
"Oo.. lagu ni rupenye.." Izyani sempat menyimpul satu senyuman manja buat sang suami di sebelah.
"Sayang suka lagu ni?"Soal Amin.
"Yup.. suka sangat-sangat.. dulu-dulu kat asrama, memang selalu sangat dengar lagu ni.. Masa remaja kan.. Dulu ada kawan-kawan yang sampai tunggu-tunggu kat radio untuk dengar lagu ni.."
Sayang tak tunggu kat radio?
"Hehe.. ada la gak nak wat camtu.. tapi tak sempat.."
"'First time' abang dengar lagu ni, abang akan fikir sorang-sorang.. sapa la calon isteri abang nanti.. sebab cinta yang Allah anugerah kat abang, abang nak kongsi dengan isteri abang ja.. dan abang selalu berdoa, untuk Allah anugerahkan kat abang, seorang yang solehah untuk sama-sama berkongsi cinta daripada Allah ni.. dan sekarang ni, Allah dah makbulkan doa abang.." Bicara Amin panjang lebar.
Izyani di sebelah menarik nafas panjang. Lalu dihembuskan perlahan. Ada rasa terharu di hatinya. Syukur atas anugerah yang diberikan Allah. Mendapat suami yang soleh. Sentiasa meletakkan cinta atas dasar Iman dan taqwa. Sentiasa mengingatkan bahawa tidak ada satu pun milik kita di dunia.
Semua itu, hanya pinjaman sementara. Yang boleh ditarik balik, pada bila-bila masa. Bersedia atau tidak, bukan itu menjadi persoalan. Tepuk dada, tanya persediaan. Termasuklah dalam soal cinta. Cinta atas dasar kerana-Nya, akan sentiasa merasa bahagia. 
"Tak percaya? Cubalah!" Kata-kata Ustazah Fatimah sejak di zaman matrikulasi dulu, sentiasa terngiang-ngiang di telinga. Dari situ, dia membulatkan tekad. Untuk bercinta hanya kepada suami. Disandarkan cinta itu hanya pada Illahi.
"Sayang pulak camna?"
Amin mengejutkan lamunan Izyani dengan soalan tadi. Perasaan tadi membuatkan dia berasa seperti berkhayal. Khayal dalam keasyikan bercinta bersama suami.
"Sayang akan tanya diri bila dengar lagu tu.. layak ke diri ni untuk terima 'cinta pertama'? Memang rasa tak layak sangat-sangat.. siapa la yang nak 'share' 'cinta pertama' dengan sayang.."
"Alolo.. Wat ayat sedey plak.."Amin memintas kata Izyani.
"Huhu.. yala.. mesti la sedey.. bukan la sedey, tapi camtu la kan.. sapa la kita ni.."
"Sekarang ni sedey lagi la?"Soal Amin ringkas.
"Tak dah!"Balas Izyani.
"Sebab?"
"Sebab tak sedey laa..." ^_^
"Oo.. kenakan abang ye.."
"Tak la.. tapi betul la.. sekarang tak sedey dah.. sebab Allah dah pinjamkan kat sayang seorang suami yang baik, soleh untuk sama-sama kongsi rasa seronok, sedih.."
Amin membelai lembut pipi Izyani. Dirapatkan sedikit tubuh isterinya, lalu dikucup dahi isteri tercinta.
"Semoga kita dapat bercinta lagi di Syurga nanti..Doanya di telinga Izyani..
"Ameen.."Balas Izyani.
Kelihatan kilauan cahaya cerah dari arah belakang kereta. Seperti memberi isyarat kecemasan. Amin memandang ke arah belakang melalui cermin sisi kereta.
"Lajunye kereta tu.."Getusnya di hati.
"Ya Allah!!"
Ayat itu tiba-tiba terpacul daripada mulutnya. Baru kini dia sedar. Mereka sedang berada pada lorong memotong.
Dammmmm!!
Satu hentaman kuat dari arah belakang. Keretanya gagal dikawal. Berputar-putar di tengah lautan kenderaan yang lain. Dapat dirasakan putaran itu amat kuat sekali. Akhirnya melanggar tembok pembahagi jalan.
----
Dalam kebahagian, dijemput bertemu Yang Maha Esa?
Mustahil?
Semoga kita dapat bercinta di Syurga nanti..

 
Design by Wordpress Theme | Bloggerized by Free Blogger Templates | coupon codes