Blog Ini Masih Diselenggara oleh Rozaliah Mokhtar

Friday, July 20, 2012

Sendiri Itu Terapi .



Siapa kata sendiri itu tidak bahagia? Tidak menggembirakan? Zahirnya, orang mungkin nampak seseorang yang bersendirian itu menyedihkan kerana kekosongan tanpa ditemani. Namun, pada hakikatnya mereka yang bersendiri itu lebih bahagia sebenarnya.

Bila sendiri, kita mempunyai banyak ruang untuk muhasabah diri. Biarpun sendiri, kita tetap takkan berada dalam relung kesunyian. Kerana dengan bersendiri, kita mampu merasai kehadiranNya di sisi kita. SubhanaAllah! Mampu untuk merasa redup kasihNya yang lagi menenangkan.

Sendiri, mengajar kita untuk memperbaiki diri sendiri tanpa gangguan dan halangan daripada mereka-mereka.

Sendiri itu terapi. Terapi untuk menguatkan iman. Terapi untuk perbaiki hubungan dengan Sang Pencipta. Terapi untuk memperbaiki habluminnanas (hubungan sesama manusia). Terapi untuk membetulkan setiap yang sumbang.

Kerana, dengan bersendiri, seseorang mampu untuk berfikir dengan rasional tentang segala hal duniawi mahupun ukhrawi. Mampu membuatkan seseorang mencari kembali dirinya yang telah hilang. Mampu menilai antara kaca dan permata. Mampu membezakan antara hitam dan putih.

Sendiri itu juga terapi untuk menghapuskan parut-parut dosa yang dilakukan. Apa gunanya berteman seandainya diulit dengan cengkaman dosa? Tentulah hati takkan tenang apabila dosa-dosa tersebut menghantui. Astargfirullahalazim...

Sesungguhnya, sendiri itu terapi yang indah. Terlalu indah bagi mereka yang benar-benar memahami istilah sendiri. Allah SWT ciptakan sendiri itu untuk mengembalikan semula hambaNya yang 'hilang'. Dia biarkan kamu yakni insan yang terpilih untuk bersendiri hanya semata-mata inginkan kamu kembali ke jalanNya. Bukan untuk menghukum kamu. Sebaliknya, untuk menyatakan kasih sayangNya kepada hamba-hambaNya.

Jadi, janganlah bersedih apabila sendiri. Bersangka baiklah dengan Allah. 

Allah SWT berfirman:

"Aku akan bersama (mengikut) sangkaan hamba-hambaKu. Maka hendaklah kamu bersangka dengan apa yang kamu inginkan" (Hadis Qudsi Riwayat At-Thabrani)

Percayalah, setiap keadaan atau peristiwa itu mempunyai hikmah yang kadangkala dapat kita fikir sendiri (namun kadangkala hikmah itu tidak dapat difikir oleh kita manusia biasa). Ingat, Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita.

"...boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia baik untukmu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan ia buruk untukmu. Allah mengetahui sedangkan kamu tidak tahu."
(Surah al-Baqarah, ayat 216)

Biarlah kita buruk dan hina pada pandangan manusia, namun cantik dan suci pada pandangan Allah SWT :)

Wallahualam...

sabar wahai roza



Dahulu aku terfikir bahawa 'menangis' ialah tanda diri ini lemah. Tetapi sebenarnya ada hikmah di sebalik tangisanku kali ini. Baru ku sedar nikmat air mata dan kesedihan yang ku alami ini mendekatkan diriku pada yang lebih layak iaitu Allah SWT.

Kini ku merasai cinta dan kasih sayang Allah, lebih berharga dan manis daripada segala-galanya. 'Kehilangan' itu rupanya aku lalui supaya aku merasai satu 'pertemuan' yang hakiki iaitu dengan Allah. Allah mahu mengujiku dengan menjauhkan ku dengan orang yang ku sayangi, kerana Allah mahu diriku dekat dengannya.

Seandainya kesedihan yang teramat sangat ini membuatkan ku rindu untuk bertemu denganNya, aku redha dan pasrah kerana Allah lebih ku cintai lebih daripada segala yang ada di langit dan di bumi.

Aku juga yakin, semua ini pasti berakhir kerana ku yakin yang 'dia' sedang menungguku dan pasti menjemputku pada suatu saat nanti. Aku yakin dengan ayat Allah SWT ini,

"Perempuan-perempuan yang keji untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji untuk perempuan-perempuan yang keji (pula), sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk laki-laki yang baik (pula). Mereka itu bersih dari apa yang dituduhkan orang. Mereka memperoleh ampunan dan rezeki yang mulia (syurga)."
(Surah an-Nur, ayat 26)



Walau bukan di dunia yang fana ini, insya-Allah, dengan berkat kesabaran, pasti di syurga nanti bersatu juga. Andai sudah ditakdirkan jodoh dengan dia, tiada apa yang dapat mengubahnya kerana Allah Maha Berkuasa. Hanya dengan sedikit kesabaran dan doa yang tidak putus, Allah pasti membalasnya dengan kebahagiaan yang lebih bermakna.

"Mereka itu semuanya akan dibalas dengan mendapat tempat yang tinggi di Syurga disebabkan kesabaran mereka, dan mereka pula akan menerima penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya"
(Surah al-Furqan, ayat 75)

Cinta yang ada di dalam hati adalah anugerah daripada Allah SWT. Allah menguji hambaNya kerana sayang kepada hambaNya. Allah mahu cinta yang dianugerahkan ini dijaga dan dikawal dengan sebaiknya. Bukannya untuk dirosakkan dengan hawa nafsu dan menodainya dengan larangan-larangan yang dibenciNya.

Allah mengajar diriku erti KESABARAN yang selama ini aku tidak berapa fahami. Memang betul, kesabaran mengajar erti hidup.

Aku yakin dengan Allah SWT. Moga Allah permudahkan segala urusan. Cinta yang ikhlas dan abadi memang sukar untuk dimiliki kerana ia hanya layak untuk orang yang bersabar dan berserah diri kepada Allah. Moga diriku tergolong dalam kalangan orang yang sabar.

"Sesungguhnya Aku membalas mereka pada hari ini (dengan sebaik-baik balasan) disebabkan kesabaran mereka; sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang berjaya".
(Surah al-Mu'minun, ayat 111)

 
Design by Wordpress Theme | Bloggerized by Free Blogger Templates | coupon codes